Hit Counter: 0

柔南中小企业公会 SME Johor Selatan / SME South Johor (SMEJS)

 

 

        Ucapan  Mr Teh Kee Sin

 

Presiden, Persatuan Industri Kecil & Sederhana Johor Selatan

 

Makan Malam bersama Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Malaysia : YB Datuk Khaled bin Nordin; seiring dengan majlis perasmian laman web Persatuan IKS Johor Selatan (SMI Association of Johor Selatan)

 

 

Ucapan Pembukaan Kelolaan

 

19 Februari 2005

 

 

 PEMBUKAAN    

        Selamat malam dan salam sejahtera diucapkan kepada Yang Berhormat Datuk Khaled Nordin: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi; Jawatan kuasa pengelola majlis pada malam ini; ketua-ketua jabatan; penderma dan penganjur budiman; wakil-wakil bank; ahli-ahli majlis Persatuan Industri Kecil & Sederhana Johor Selatan, ahli-ahli IKS Selatan yang diraikan; dif-dif kehormat; kawan-kawan media dan tuan-tuan dan puan-puan para jemputan yang diraikan dan dihormati. Selamat datang ke majlis makan malam bersama YB Menteri disamping menyaksikan pelancaran laman web Persatuan IKS Johor Selatan sebentar lagi.

 

      Pertamanya, kepada pihak Jawatankuasa Penganjur Makan Malam ini, saya mengucapkan tahniah atas kejayaan melaksanakan perancangan dengan baik. Sekarang berikan saya sedikit ruang untuk menyampaikan sepatah dua ucapan meraikan jemputan. Tahun 2004 sudah berlalu, dan ianya dikenali dalam masyarakat tiong hua sebagai Tahun Monyet. Tahun in adalah tahun Ayam Jantan. Semua kita tahu bahawa Tahun Monyet telah berakhir dengan sebuah tragedi yang dahsyat iaitu mala petaka ombak besar Tsunami yang berlaku pada 26 Disember yang lalu. Kejadian dahsyat ini menjejaskan kawasan yang agak luas dari Utara Sumatra (terutama Aceh), ke kawasan sekitaran lautan hindi (India dan Sri Lanka) dan kawasan berhampiran di Afrika, dan beberapa bahagian utara di Selat Melaka. Angka terkini yang terbunuh dalam malapetaka ini telah mencecah lebih dari 300,000 orang. Masih ramai yang telah terkorban dan hilang yang masih tidak dikira. Kesemua kita berada di dalam keadaan terkejut dan sedih menyaksikan kejadian maut dan kemusnahan dahsyat ini. Disebalik kesedihan dan rasa terkejut itu, kita juga berasa amat bangga dan gembira melihat ramai orang Malaysia yang telah menderma dan membantu secara terus untuk mengurangkan kesengsaraan orang yang masih terselamat dari malapetaka ini.

 

Kita boleh merasakan betapa bernasib baik kalau kita berbanding dengan negara jiran kita di Indonesia dan Thailand, walaupun sebahagian kecil Pulau Pinang dan pantai Kedah juga terkena sedikit tempias malapetaka ini. Tsunami ini adalah satu keadaan malang yang menimpa manusia tetapi tidak akan membawa kesan yang besar kepada ekonomi dalam jangkamasa pendek ini. Mungkin industri pelancungan akan menghadapi sedikit kegenjotan dalam jangkamasa pendek ini tetapi kita percaya kawasan Asia Timur dan Asia Tenggara ini menjanjikan peluang pelaburan dan kerjasama ekonomi yang lebih mantap di masa-masa mendatang.

 

         Kesemua kejadian ini menjadi peringatan kepada kita tentang ketidakpastian yang ada di dunia dan kita perlu bersedia setiap masa. Hingga hari ini kita masih bertuah kerana masih berpeluang meraikan hari kebesaran ugama dan bangsa kita bersama dalam keadaan aman damai.

 

Datuk, Yang Berhormat, Tuan-tuan dan Puan-puan,

 

SEMAKAN EKONOMI 2004

        Hingga ke saat negara kita mengalami bencana Tsunami tahun 2004 yang lalu, ekonomi kita telah melonjak kembali dengan jayanya setelah beberapa tahun mengalami kerumitan untuk maju ke depan. Untuk tahun 2004, ekonomi kita dijanka akan capai sebanyak 6 peratus, ia melebihi jangkauan kerajaan dan penganalisis ekonomi. Kejayaan ini dicapai oleh kerana keadan negara Malaysia yang aman dan keadaan politik yang stabil dan mantap. Keamanan di Malaysia adalah disebabkan adanya perasaan toleransi antara kaum yang baik dan kukuh yang susah untuk dilihat di negara lain di dunia ini. Dalam masa yang sama, tahun lalu juga kita menyaksikan satu perubahan pucuk pimpinan politik yang telah berjalan dengan licin tanpa masalah. Perubahan yang menuju ke suatu usaha menjadikan Malaysia lebih berdaya saing yang diketuai oleh Perdana Menteri yang baru Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi atau panggilan mesra Pak Lah yang kita kenali. Beberapa pengstukturan telah dibuat di kabinet dan sistem perlaksanaan di pihak pentadbiran kerajaan. Kita sangatlah berharap usaha ini akan menghasilkan sebuah kerajaan yang produktif dan berkesan.

 

         Seperti yang saya ucapkan dalam majlis yang sama tahun lepas, pengusaha IKS perlu melihat ke depan dan melepasi halangan yang ada didepan demi meraih kejayaan dalam mengembangkan perniagaan di dalam negara dan seterusnya keluar negara bila keadaan mengizinkan. IKS adalah merupakan tulang belakang dalam sesebuah ekonomi. Pengusaha IKS perlu meraih kelebihan dari penglibatan Malaysia di dalam AFTA dan WTO. Seterusnya, pengusaha IKS juga perlu menyesuaikan diri dalam undang-undang dan peraturan baru bagi menjalani perdagangan global. Saya sentiasa melihat ke arah positif setiap perkembangan ini dan diharapkan rakan-rakan saya juga mempunyai perasaan yang sama. Hilangkan perasaan terancam, usaha ke arah peluang terbuka luas dengan cabaran menanti. Pengusaha IKS sekarang kena lebih banyak berusaha untuk mampu berdikari di arena perniagaan global yang berdaya saing dan sentiasa berubah. Persiapkan diri kita dengan segala kemahiran dan pengetahuan demi kejayaan dalam suatu ekonomi berasaskan pengetahuan (K-ekonomi).

 

POTENSI DI RANTAU

 

        Kita pandang dari segi rantau Asia, saya rasa dengan memandang ke hadapan kita dapat melihat sesuatu yang menarik dan manjanjikan keadaan yang lebih baik dengan kehadiran dua gergasi Asia – Negara China dan India dalam membentuk dan mencorak keadaan ekonomi di Asia dan dunia. Dalam masa yang sama, kuasa ekonomi kedua terbesar Jepun tetap akan menjadi tunggak utama ekonomi kita kerana pelaburan yang Jepun telah laburkan dan ekspot yang besar kita hantarkan ke Jepun setiap tahun. Peranan ketiga-tiga negara ini perlu dipantau dan diperhatikan selalu perkembangannya. Cubalah raih peluang perniagaan bersama.

 

         Asia Tenggara tetap akan maju ke depan dengan lebih mantap selepas krisis kewangan 1997. Di Indonesia, pemimpin baru dipilih dan dianggap agak dinamik : Dr Susilo Bambang Yudiyono dijangka akan memberikan lebih inspirasi kepada penduduk dan ekonominya. Di Thailand dengan perlantikan semula Dr Thaksin Shinawat akan menjanjikan keadaan ekonomi yang lebih maju walaupun sedikit kekhuatiran mengenai keadaan keselamatan di selatan Thailand. Sementara itu, kerjasama yang lebih rapat dan mantap antara peniaga Malaysia dan jiran terdekat kita Singapura diharapkan dapat dilaksanakan dalam tahun-tahun mendatang. YB menteri MITI ada mengingatkan supaya menggunakan geran kewangan untuk menghasilkan kerjasama yang baik antara Malaysia dan Singapura di negara ketiga berjumlah RM 10 juta. Jika peluang ini dapat digunakan sebaik mungkin maka kedua-dua pihak IKS akan mendapat merasakan kebaikannya.

 

          Selain Asia Tenggara, kawasan Timur Tengah Asia sedang diusahakan dengan rancak. Reformasi ke atas ekonomi dengan mengurangkan penggantungan terhadap hasil minyak ke atas ekonomi membuka peluang kepada negara-negara tersebut dan negara luar seperti Malaysia untuk menembusi peluang di dalam ekonomi tertutup sebelum ini. Sebagai contoh, kerajaan Johor dan J-Corp telah mengetuai satu rombongan misi perdagangan ke negara-negara Timur Tengah dengan harapan sebuah stesen perhentian halal (halal hub) dapat diusahakan dengan kerjasama kerajaan negeri, persekutuan dan pihak swasta tidak lama lagi. Peluang perniagaan yang baik untuk IKS dalam industri makanan dan yang berkaitan dengan barangan halal. Cuba cari peluang bagaimana kita pengusaha IKS dapat mengoptimumkan peluang ini. Delegasi tersebut akan balik pada hari Isnin depan.

 

         Kerancakan perdagangan global dapat dirasai dan setiap hari kawasannya terbuka luas untuk diterokai. Oleh itu, untuk negara Malaysia yang berbilang bangsa dan keturunan mempunyai kelebihan yang tersendiri. Sebagai contoh, peniaga Islam pula boleh membuka peluang di negara Timur Tengah. Manakala peniaga-peniaga Malaysia berketurunan China dan India boleh menembusi negara China dan India dengan bahasa yang mereka ada. Kemudian segala kerjasama dan usahasama boleh dijalankan untuk kebaikan negara ini. Inilah keunikan Malaysia.

 

         Dalam perancangan ke arah perniagaan antarabangsa, IKS tempatan perlu sebuah pusat yang kukuh dan berhubungkait dengan baik untuk membantu operasi di negara asing secara berkesan. Kedudukan Johor dapat memberikan kelebihan dalam menjalankan kerjasama dengan negara jiran kita seperti Singapura dan Indonesia. Tetapi dalam beberapa bulan yang lalu, kita dapat merasakan kelemahan yang  perlu diambil tindakan drastik demi menghadapi industri global yang mencabar di masa hadapan.

 

CABARAN

 

YB Datuk,

Melihat kebelakang sedikit, kita dapat perhatikan beberapa halangan dari pihak domestik akan membantutkan usaha ke arah pembangunan industri seperti subsidi minyak disel; caj-caj yang tak menentukan oleh pihak bank kepada pelanggan tanpa pemberitahuan yang jelas; “Ops Nasihat” kepada pekerja tanpa izin (PATI) setelah 3 kali diberi peluang menyebabkan kerumitan kepada “majikan yang mengikut peraturan”; kenaikan harga tol yang mendadak; kurang sensitif pihak TNB terhadap ‘black out’ yang memberikan imej yang kurang menyenangkan kepada pihak pelabur; pihak TELEKOM yang agak lambat respon terhadap permintaan pelanggan untuk sesuatu servis : streamyx dan broadband; infrastuktur di sekitar Johor seperti di jalan raya Pasir Gudang; dan lain-lain lagi.

 

YB Datuk, sebagai IKS kami menghadapi berbagai cabaran dari pencabar yang besar seperti MNC dan disamping itu cabaran masalah domestik seperti di atas. Kita selalu dengar kerajaan menyatakan bahawa IKS adalah nadi dan tulang belakang ekonomi negara tetapi masih ada berbagai pihak dan jabatan yang perlu membaiki dan megukuhkan perkhidmatan mereka untuk membantu perniagaan yang sedang dan bakal dijalankan oleh pihak IKS demi untuk kesejahteraan ekonomi negara kita ini.

 

PERASMIAN WEB DAN PENUTUP

 

Sebelum saya mengakhiri ucapan saya ini, saya hulurkan ucapkan kejayaan dan kemakmuran yang baik di Tahun Ayam Jantan ini. Marilah bersama kita kerja dengan lebih kuat, berterusan dalam inovasi, mencari peluang perniagaan baru, dan sentiasa sensitif terhadap apa yang berlaku di sekeliling kita. Kami, Perstuan IKS Johor Selatan, sebuah NGO, berharap kami akan tetap menjadi penyambung antara pihak industri dan pihak kerajaan dan sentiasa menghargai jalinan kerja yang berharga ini. Terima kasih kepada YB Datuk Khaled, kerana dengan kehadiran beliau telah membantu menyerikan majlis ini. Sekarang kami berharap portal kami akan dapat dirasmikan dengan jayanya dimana persiapan “Construction” telah mula semenjak bulan Oktober 2004 yang lalu. Dengan perasmian portal ini dapatlah kiranya ahli-ahli IKS Johor Selatan bertapak maju ke hadapan dan rancak berdagang menggunakan ICT. Kami juga tahu bahawa pihak SMIDEC mempunyai beberapa skim untuk meningkat dan memantapkan kebolehan pengusaha dalam pengunaan ICT untuk perniagaan yang lebih maju lagi. Diharapkan pengusaha IKS di Johor Selatan dapat meneruskan usaha menggunakan ICT dalam satu skim yang menarik yang dinamakan Rosettanet. Jarangan ini memberi peluang ke arah membekalkan barangan IKS kepada pengguna di seluruh dunia terutama di Amerika yang bernilai USD 3 trillion. Selamat berusaha dan mencuba.

 

Sebelum mengakhiri ucapan saya ini, ingin saya ucapkan kepada semua Selamat Berjaya dengan Cemerlang di tahun ini dan tahun mendatang. Terima Kasih.

 

 

 

117214123105.gif113603093720.gif111622114032.gif109523185540.gif118702193755.gif112730114539.gif114415112723.gif116608155242.gif