Hit Counter: 0

PTP rancang pengembangan kapasiti dalam lima tahun

[ 23-07-2015 ]
PTP rancang pengembangan kapasiti dalam lima tahun

JOHOR BAHRU: Port of Tanjung Pelepas (PTP) berusaha meningkatkan nilainya dengan merancang untuk mengembangkan kapasiti daripada 12.5 juta unit bersamaan 20 kaki (TEU) kepada 15 juta TEU dalam tempoh lima tahun akan datang.

Pengembangan kapasiti berterusan adalah penting untuk memastikan PTP mampu berdepan dengan pertumbuhan masa depan, dan pada masa sama menawarkan cadangan perniagaan bernilai utama kepada pelanggan baharu dan berpotensi.

Mengakui perubahan sentiasa berlaku dalam persekitaran industri pelabuhan, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PTP, Hanif Hamid, berkata PTP berhasrat untuk melaksanakan pengembangan supaya mampu bersaing apabila tiba waktunya. "Kami telah menyerahkan cadangan kami kepada kerajaan untuk mendapatkan sokongan kewangan dalam aspek pengeluaran modal bagi memperluaskan terusan sedia ada kami," katanya.

Hanif berkata, mengikut Rancangan Malaysia Ke-11, terdapat sejumlah peruntukan pelabuhan untuk penggiat industri, dan berharap syarikat itu mampu meyakinkan kerajaan bahawa PTP berdaya maju dan akan menyumbang secara ketara kepada pertumbuhan ekonomi negara serta Johor. "Dalam usaha untuk berkembang, kami perlu lagi mengorek dasar laut.

Kedalaman terusan sedia ada kami kini kira-kira 16 meter, jadi, untuk memberi kemudahan yang lebih berkesan kepada kapal kontena terbesar dunia tanpa apa-apa halangan yang timbul, terdapat keperluan untuk mendalamkan terusan itu kepada 18.5 meter. "Tambahan pula, terdapat keperluan segera untuk melebarkan terusan itu daripada 400 meter pada masa ini kepada 600 meter bagi mengelak kesesakan," katanya.

Sebelum ini terdapat laporan bahawa PSA Singapore memindahkan semua aktiviti berkaitan pelabuhan kontenanya dari Pasir Panjang ke Tuas mulai 2027. Tuas akan mengendalikan 65 juta TEU kargo setahun, meningkat daripada jumlah yang dikendalikan oleh Singapura tahun lalu. Mengikut laporan itu, Pelabuhan Mega Tuas Singapura yang akan mula dibina pada pertengahan tahun ini, dijangka siap pada 2021.

Pada Jun 2015, PTP mengendalikan kira-kira 4.5 juta TEU dan berada di landasan yang betul untuk mencapai sasaran lebih sembilan juta TEU tahun ini. Menjadi antara pelabuhan paling sibuk di Malaysia, syarikat itu mengendalikan kebanyakannya penghantaran dengan pelanggan daripada lima syarikat perkapalan terkemuka dunia iaitu Maersk Line, MSC, CMA-CGM dan Evergreen. PTP adalah perkongsian antara MMC Corporation (70 peratus pegangan) dan APM Terminals (30 peratus), menjadi terminal kontena terbesar Malaysia pada masa ini.

- BERNAMA

114415112723.gif109523185719.gif112730114539.gif118702193755.gif117214123105.gif111622114032.gif113603093720.gif109523185540.gif